BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, November 2, 2009

PGSM ada bukti dakwaan terhadap Dr Asri


Petikan akhbar Berita Harian 3,Nov 2010:






KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bersedia bersemuka dengan Dr Mohd Asri Zainal Abidin bagi mengemukakan bukti dakwaan mereka terhadap bekas mufti Perlis itu dalam memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong membantah tawaran jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada beliau.

Bagaimanapun, Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata persatuan itu bersama 15 badan bukan kerajaan (NGO) Islam mahu pertemuan itu diadakan secara tertutup kerana ia membabitkan isu dalaman dan tidak wajar dibahaskan atau disensasikan secara terbuka.


"Kita (PGSM dan 15 NGO Islam) sedia bersemuka dengan beliau dan mengemukakan bukti segala dakwaan yang dibuat terhadap Mohd Asri, mengapa beliau itu tidak layak memegang jawatan Yang Dipertua Yadim," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Asri yang mahu PGSM mengemukakan bukti beliau mencerca Imam Ghazali dan Imam Nawawi serta menolak hadis Imam Bukhari melalui ucapan atau tulisannya, iaitu antara alasan bantahan mereka terhadapnya.

Ia berikutan memorandum yang dihantar persatuan itu dan NGO terbabit kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Oktober lalu membantah cadangan melantik Mohd Asri sebagai Yang Dipertua Yadim.

Mohd Asri mendakwa kandungan memorandum itu satu fitnah dan pembohongan kerana beliau dituduh tidak mengiktiraf iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah, mencerca solat hajat dan menolak hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari.

Memorandum itu turut mendakwa Mohd Asri mencerca ulama besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali.

Mohamad Isa berkata, dalam memorandum itu, PGSM dan NGO Islam menganggap pendekatan Mohd Asri hanya menimbulkan keraguan dan polemik merugikan kepada umat Islam seperti dalam isu pencegahan khalwat, isu penggunaan kalimah Allah dan amalan cabang dalam Islam dikatakan bidaah di kalangan umat Islam.

Sementara itu, beliau berkata, PGSM dan NGO Islam mengakui kesilapan mereka sehingga menyebabkan kandungan memorandum itu 'bocor' di dalam laman web PGSM sejak Khamis lalu.

"Namun saya mengakui kandungan memorandum itu memohon Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan supaya tidak melantik Mohd Asri menjadi Yang Dipertua Yadim," katanya.


Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya hairan dengan keputusan Mohd Asri yang 'menolak' lebih awal tawaran pelantikan jawatan sebagai Yang Dipertua Yadim kerana kerajaan belum membuat pengumuman rasmi mengenainya.

"Kami kesal dengan Mohd Asri memperbesarkan dan mencari publisiti terhadap perkara yang menjadi hak dan budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan. Ini adalah isu dalaman yang sepatutnya diselesaikan secara perbincangan tertutup dan berhikmah," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom ketika dihubungi berkata, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana tiada pelantikan baru atau pengganti bagi mengisi jawatan itu dibuat oleh kerajaan.

Difahamkan, tempoh jawatan Yang Dipertua Yadim sekarang, Datuk Nakhaei Ahmad sudah dilanjutkan sehingga 2012.

0 comments: