Junjungan Besar, Rasulullah s.a.w diberi gelaran al-Amindisebabkan ketinggian sifat amanah dan jujur serta kewibawaan dan ketrampilan baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran al-Amin ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraisy kepada Rasulullah s.a.w. Gelaran ini tidak hanya diakui oleh umat baginda, bahkan seluruh masyarakat Arab waktu itu turut menyanjungi kejujuran baginda. Inilah buktinya bahawa kepimpinan hari ini adalah berwibawa jika ada kejujuran dan ketegasan terhadap perkara kebenaran. Dalam konteks negara kita, usaha kerajaan untuk membasmi gejala rasuah, politik wang, penyelewengan dan salah guna kuasa merupakan manifestasi daripada intipati sifat al-Amin dalam konteks kepimpinan yang diredai Allah s.w.t. Justeru itu, dalam konteks dasar kerajaan memerangi gejala rasuah tersebut adalah bertepatan dengan kaedah dan ajaran yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam harus diciptakan menjadi umat yang mempunyai semangat jihad untuk melawan apa jua bentuk rasuah. Pengajaran penting daripada tindakan yang diambil oleh kerajaan ke atas isu-isu yang berkaitan dengan politik wang adalah untuk melahirkan semangat jihad memerangi rasuah. Dan yang terpenting, orang yang memimpin itu adalah orang yang dipercayai dan jujur. Justeru itu tindakan yang diambil oleh Lembaga Disiplin UMNO terhadap mereka yang didapati bersalah mengamalkan politik wang adalah bukti ketegasan parti tersebut dalam menangani masalah rasuah di kalangan ahli politik. Persoalannya, mengapa sesetengah anggota masyarakat kita berkecenderungan untuk melakukan rasuah? Jawapannya, sudah tentu kerana tidak ada kejujuran, iaitu tidak berani untuk melihat kelemahan diri sendiri serta kekayaan yang dimiliki. Golongan ini sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri walhal ketakutan itu berpunca daripada dalam dirinya. Perlu diingat bahawa orang yang memberi rasuah juga berdosa dan yang mengambil atau menerimanya juga berdosa. Bagaimana seandainya tidak ada orang yang memberi walaupun dipinta, maka sudah tentu rasuah tidak akan berlaku. Begitu juga seandainya tidak ada orang yang meminta, maka sudah pasti orang yang memberi rasuah juga tidak akan wujud. Inilah penyakit yang sukar diubati dan dihidapi oleh sesetengah pemimpin Melayu-Islam hari ini. Permasalahan politik wang seakan-akan satu permasalahan yang tidak berkesudahan. Sebagai seorang Muslim yang meyakini akan adanya hari pembalasan dalam kehidupannya, tentunya tidak menganggap permasalahan ini sebagai perkara biasa sahaja. Malah kesan daripada perbuatan rasuah ini akan mengikis akidah keimanan seseorang itu. Golongan ini terlalu meyakini bahawa wang adalah segala-galanya – dengan wang mereka boleh menperoleh kuasa. Mereka seumpama Firaun yang tidak menpercayai Allah s.w.t kerana bagi mereka harta dan kekayaan itulah kekuasaan. Percayalah bahawa kepimpinan atau kekuasaan yang diperoleh secara haram itu tidak akan kekal lama kerana ianya tidak diredai Allah s.w.t. Dalam hal ini, terdapat hadis sahih daripada Nabi s.a.w, bahawasanya baginda (yang bermaksud) “melaknat perasuah dan orang yang dirasuah.” (Riwayat Abu Daud) Sememangnya rasuah itu adalah salah satu daripada dosa besar, manakala rasuah yang paling keji dan besar dosanya ialah rasuah yang berkaitan dengan hukum atau undang-undang kerana yang menetapkan hukum itu hanya Allah s.w.t, dan manusia sebagai pelaksana sahaja. Melakukan penyelewengan dalam hukum bererti melanggar perintah Allah s.w.t. Hal ini dapat dijelaskan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Rasuah dalam urusan yang berkaitan dengan hukum adalah kufur.” (Riwayat at-Tarmizi) Untuk menggambarkan perlakuan itu adalah perbuatan tercela dan berdosa besar, Nabi Muhammad s.a.w membuat perbandingan dengan salah satu daripada bentuk riba yang boleh menyebabkan seseorang itu dihumban ke dalam neraka. Pengamal atau penerima rasuah, pemberi dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan gejala tersebut dikira sama sahaja sebagaimana juga pemakan riba dan pemberi, saksi dan orang yang menguruskannya sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Rasulullah melaknat pemakan riba, pemberinya, orang yang menguruskannya dan saksinya, mereka itu adalah sama.” (Riwayat Muslim) Seseorang yang menginginkan seuatu jawatan atau kedudukan terhormat dalam pemerintahan, ditakuti kemungkinan besar akan mengorbankan agamanya demi mencapai keinginannya itu. Dia rela melakukan apa sahaja meskipun perbuatan maksiat demi untuk mendapatkannya atau mempertahankan kedudukan yang telah diraih. Rasulullah s.a.w juga pernah menolak permintaan salah seorang sahabat yang datang meminta agar diberi jawatan dalam pemerintahan. Lantas baginda bersabda yang bermaksud: “Kami tidak akan memberikan jawatan dalam pemerintahan ini kepada orang yang memintanya dan bercita-cita untuk mendapatnya.” Alasan penolakan ini kerana setiap orang yang bercita-cita tinggi ini sudah tentu berani untuk melakukan apa sahaja demi mendapatkan jawatan tersebut. Ini juga adalah kerana perkara ini dapat menghalangi taufik Allah s.w.t dalam memenuhi tanggungjawabnya. Mereka terlalu berani dan tidak takut kepada undang-undang dan sanggup menghabiskan wang yang banyak demi untuk mendapat dan menpertahankan jawatan itu. Namun apabila jawatan dalam pemerintahan itu diberikan kepada orang yang tidak menginginkannya atau tidak menyukainya, maka Allah s.w.t akan memberinya taufik dan akan menbantunya dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut. Penyerahan kuasa atau perlantikan seseorang pemimpin yang tidak benar-benar layak sudah pastinya tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik dan sepatutnya. Dalam konteks ini, ia memiliki ‘peluang dan ruang’ untuk melakukan pengkhianatan atau penyelewengan. Pengkhianatan dan penyelewengan itu bukan sahaja dari kalangan pemimpin itu, bahkan orang yang terlibat sama dalam proses perlantikan dan pemilihan juga dikira sebagai pengkhianat kerana mereka sudah tahu orang yang mereka akan lantik tidak boleh melaksanakan tugas. Apatah lagi kalau pemilihan tersebut atas dasar sentimen kepuakan atau kekayaan semata-mata, bukan atas dasar kelayakan dan pemilihan yang tepat. Ingatlah pesan Rasulullah s.a.w dalam satu hadis baginda yang bermaksd: “Manusia apabila melihat kemungkaran, tidak merubahnya, maka dipastikan hampir sahaja Allah menimpakan seksaan-Nya secara menyeluruh.” (Riwayat Ahmad)
Monday, November 2, 2009
Youth of the Nation: Say no to corruption
Posted by tashakuriwa at 11:34 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment