BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, November 2, 2009

Politik Orang Muda




SARJANA sains politik ada menyatakan bahawa seiring dengan proses pembangunan sesebuah negara, akan turut menyaksikan nilai-nilai demokrasi yang lebih baik.

Namun dalam konteks politik di negara kita hari ini, politik dilihat menjadi terlalu peribadi sehingga sanggup menggunakan apa sahaja pendekatan untuk merapatkan diri dengan kuasa, atau cuba untuk menjadi jaguh dengan membela sesetengah komuniti dan bukan keseluruhan masyarakatnya. Kekeruhan yang berlaku dalam politik negara ketika ini jika boleh dinilai banyak didorong oleh semangat segelintir ahli politik yang begitu teruja dalam perjuangan mereka. Sama ada untuk mempertahankan komuniti yang diwakili, atau dengan cita-cita yang lebih besar lagi iaitu untuk memerintah negara.

Semangat berpolitik yang berkobar-kobar itu tanpa disedari turut membara dan membakar sempadan-sempadan lain yang tidak sepatutnya disentuh apatah lagi dipersoalkan. Apa yang dibimbangi, hala tuju perjuangan yang tidak berlandaskan semangat perpaduan dan negara berdemokrasi segelintir ahli politik itu meresap ke dalam jiwa seluruh rakyat dan diangkat menjadi ideologi, prinsip, pegangan dan amalan berpolitik yang hakiki.

Sekiranya keadaan ini berlanjutan, maka nilai-nilai hormat menghormati dan toleransi di kalangan pelbagai kaum hanya ditimbulkan pada permukaan semata-mata, atau dibuat-buat untuk kepentingan tertentu dan bukannya lahir daripada jiwa setiap rakyat Malaysia. Lalu janganlah terkejut jika suatu hari nanti, perpaduan yang hanya ditunjuk-tunjukkan itu tidak lagi mampu diwajahkan dan akhirnya meledak dan menjadi mimpi ngeri dalam sejarah negara.

Masing-masing walaupun memimpin parti politik berdasarkan etnik, namun pada waktu yang sama akan mempertahankan semangat satu keluarga besar selaku pemimpin nasional dengan mengetepikan unsur etnik, keturunan, agama mahupun gender. Dalam erti kata yang lain, apabila pemimpin itu membuat sesuatu keputusan, ia bertujuan untuk memberi manfaat kepada majoriti ahli masyarakat. Malangnya, apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya apabila terdapat segelintir pemimpin yang seolah-olah tidak peduli tentang batas-batas tertentu yang boleh diperjuangkan. Persepsi politik di kalangan generasi muda hari ini perlu diasuh untuk memahami di manakah seharusnya sesuatu bangsa itu diletakkan dalam pembentukan Malaysia dan tidak melihat apa yang berlaku hari ini adalah satu prinsip mudah bahawa semua bangsa adalah sama semua aspek


0 comments: